REMAJA DAN PERUBAHAN
Dalam realiti kehidupan masyarakat masa kini, kita berhadapan dengan pelbagai kuasa perubahan yang menuntut kita melakukan perubahan. Sama seperti orang lain, remaja juga tidak ketinggalan dilanda kuasa perubahan sosial yang amat ketara. Kegawatan sosial mengakibatkan remaja terpaksa melalui pelbagai cabaran dan rintangan. Walau apapun pengalaman mereka dengan interaksi persekitaran, mereka seharusnya mampu mencitra persekitaran mereka sendiri. Namun, persoalannya bagaimana?
Amatlah penting remaja menyedari bahawa mereka mempunyai pelbagai tanggungjawab dan tugas yang harus dijalankan agar mereka dapat diterima oleh sistem sosial sebagai sebahagian warga masyarakat. Sebenarnya, remaja mempunyai pilihan sama ada untuk terperangkap dalam permasalahan sosial atau berubah ke arah kebaikan sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam.
Sedangkan, Islam amat menitik beratkan kemajuan dan perkembangan diri yang positif pada setiap individu. Justeru itu, untuk menjadi umat yang maju dan berdaya saing dalam menuju abad 21 ini, para remaja harus berani melakukan perubahan. Kita mesti mengambil usaha mengubah diri kit sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri sendiri" (Surah Ar-Ra'd: 11).
Namun, untuk memastikan kejayaan terhadap perubahan yang ingin kita lakukan, kita mestilah mengenal pasti kaedah yang boleh membawa kepada kejayaan tersebut. Angan-angan atau impian tidak akan menjadi kenyataan tanpa usaha. Malah, dengan hanya berbekalkan semangat dan kemahuan
semata-mata, ia tidak akan mencukupi untuk berubah tanpa kaedah yangsistematik.
Untuk berubah dengan jayanya, ada beberapa langkah yang boleh diambil:
Bermula dengan kesedaran dan ilmu
Sebenarnya tarikan untuk berubah bermula dengan kesedaran. Oleh itu, untuk berubah menjadi remaja Muslim yang cemerlang, pertamanya kita perlu menyedari siapakah diri kita yang sebenarnya dan ke manakah arah tujuan kita? Disamping itu, kita perlu menilai apakah nilai hidup yang kita bawa untuk sampai kepada tujuan tersebut?
Justeru itu, remaja sangat perlu menyiapkan diri dengan ilmu keduniaan mahupun kerohanian supaya mereka tahu kenapa mereka perlu berubah ke arah kecemerlangan. Kekuatan ilmu akan menyerlahkan kematangan jiwa dan kemantapan berfikir yang akan membolehkan mereka mampumempertahankan
diri daripada segala cabaran yang mendatang. Dengan itu remaja akan sentiasa teguh berpegang dengan ajaran Islam dan melaksanakan amalannya dalam kehidupan mereka secara total.
Namun, remaja haruslah mengetahui bahawa sejauh mana sekalipun pengetahuan yang ada pada dirinya, ia tidaklah terjamin selagi pembentukannya tidak bersifat rabbani kerana tanpa sifat ini, ilmu
pengetahuan tidak akan dapat diasaskan pada takwa dan keredaan Allah S.W.T.
Mengenal pasti dimensi perubahan diri
Dalam Islam kita perlu mencari pembaharuan (islah) dari keadaan sekarang kepada yang lebih baik dan seterusnya kepada yang lebih cemerlang.Oleh yang demikian kita akan sentiasa mempertingkatkan diri
(ihsan) ke arah kesempurnaan (itqan).
Apabila prinsip islah, ihsan dan itqan mampu digarap, remaja akan meningkatkan tahap keimanan diri dan sentiasa berusaha untuk melayakkan diri ke tahap yang lebih tinggi tanpa berputus asa. Mendapatkan sesuatu yang terbaik, memperbaiki dan menambahnya merupakan suatu proses yang
berterusan dalam kehidupan remaja. Justeru itu, aktiviti mereka akanlebih terarah dan setiap kesempatan akan digunakan dengan sebaik-baiknya.
Memprogram sistem kepercayaan diri
Sebenarnya, kita ialah apa yang kita percaya. Sebagai contoh, sekiranya kita mempercayai bahawa diri kita ini tidak berguna dan tidak mampu menonjolkan akhlak yang mulia, kita akan terus mengamalkan perkara yang negatif dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya kepercayaan kendiri menentukan had pencapaian yang akan kita capai. Batasan kepercayaan kendiri jugalah yang akan membataskan perkembangan diri seterusnya.
Justeru itu, kita harus memiliki sikap mental yang positif. Untuk itu, kita harus mengikis kepercayaan yang negatif dan sebaliknya membaharui diri dengan kepercayaan yang positif. Apabila kita memiliki sistem kepercayaan yang positif tentang diri kita, maka akan lahirlah tingkah laku atau natijah yang baik daripada individu tersebut.
Menjana perubahan yang berkekalan
Untuk memastikan perubahan yang berkekalan, kita perlu menyediakanskrip hidup kita dengan menetapkan matlamat dan berusaha untuk mencapai matlamat tersebut. Dengan kata-kata lain, remaja boleh menyediakanpernyataan misi peribadi, menetapkan matlamat dan merumuskan satu pelan
tindakan untuk mencapai matlamat. Remaja juga mestilah mengetahui caraberkesan untuk mencapai matlamat yang telah disasarkan.
Namun, amatlah penting remaja mengekalkan keinginan dan semangat yangmendalam serta berterusan untuk berubah dengan cemerlang.Pengesahan dan pernyataan positif yang dikatakan kepada diri sendiri akan merangsang individu untuk mencapai hasil yang diimpikan. Seterusnya,pengukuhan dan pengakuan diri mesti diteruskan pada setiap waktu agar perubahan yang dijana akan berkekalan.
Sebagai kesimpulan, remaja yang mempunyai wawasan jauh serta bertanggungjawab terhadap maruah diri, agama dan negara akan menyedaricabaran serta harapan yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Remaja mestilah mengaplikasi syariat Islam dalam kehidupan seharian serta berazam untuk melakukan perubahan yang berterusan demi mempertahankan dan mengembalikan budaya Melayu Islam, di tempatnya yang asal.
No comments:
Post a Comment