Friday, March 13, 2009

Siapa lagi patut sokong teater islam???

BERMULA 9 Mac lalu, Sirah Junjungan (SJ) sekali lagi dipentaskan di Istana Budaya, sempena sambutan Maulidur Rasul. Semoga pementasan kedua ini mendapat sambutan lebih memberangsangkan.
Penulis masih ingat bagaimana pada tahun lalu, ketika menonton teater ini pada malam hari sambutan itu, Panggung Sari tidak penuh. Bilangan penonton, jika dibandingkan dengan pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) atau pun P. Ramlee - The Musical, malah dibandingkan dengan mana-mana teater kanak-kanak pun, macam langit dengan bumi.
Itulah nasib teater Islam. Masyarakat Islam sendiri enggan menontonnya.
Bila masyarakat tidak berminat, maka tidak hairanlah jika syarikat korporat pun tidak mahu menajanya. Maka, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesudian untuk membeli separuh daripada tiket pementasan itu atas nama Tabung Haji Plantations Berhad, ia merupakan satu keputusan yang memberi sinar baru kepada teater Islam. Semoga sikap ini diteladani oleh para pemimpin serta syarikat korporat lain.
Agak pelik apabila diperhatikan sikap masyarakat kita. Hiburan yang melalaikan sering kali dikecam. Setiap kali kecaman dibuat, dipersoalkan, "Di manakah hiburan Islami?"; "Tiadakah penggiat seni yang mahu menghasilkan hiburan Islami untuk masyarakat Islam?"; dan, "Kita perlukan hiburan berunsur Islam ini supaya generasi muda kita ada pilihan". Tetapi, apabila teater Islami dipentaskan, sambutannya begitu dingin sekali. Kedinginannya nyaris-nyaris memutuskan semangat pengarah teater ini.
Bagi mereka yang biasa menganjurkan seminar dan ceramah agama, persoalan yang timbul ialah kerap kali yang hadir itu adalah khalayak yang baik-baik, yang sebenarnya tidak memerlukan ceramah tersebut. Dalam kata lain, penganjur berdakwah kepada mereka yang telah sedia baik.
Ini boleh dianggap sesuatu yang malang kerana dalam keadaan ini matlamat seminar itu tidak sepenuhnya dicapai.
Namun dalam kes Sirah Junjungan, ia lebih malang lagi. Bukan sahaja ahli masyarakat yang tidak cenderung kepada agama itu tidak berminat, ahli masyarakat yang sedia baik juga tidak sudi menontonnya.
Bagaimana kita hendak berdakwah jika begini keadaannya?
Sekiranya masyarakat umum tidak berminat sekalipun, ke mana perginya ratusan siswa dan siswi Akademi Pengajian Islam atau fakulti-fakulti Islam lain? Ke mana perginya ratusan lagi siswa dan siswi seni lakon, seni pentas dan seumpamanya? Di mana pula tenaga pengajarnya? Bukankah teater Islam sepatutnya menarik perhatian golongan ini kerana bidang itu yang mereka ceburi?
Di mana pula orang agama dari pelbagai institusi Islam yang ada di Kuala Lumpur? Apakah kerana kita merasakan pementasan itu tidak mungkin akan sempurna maka kita menjauhkan diri? Bukankah alasan itu sepatutnya mendorong kita untuk menonton supaya kesilapan yang berlaku dapat ditegur dan penambahbaikan dapat dicadangkan?
Untuk melahirkan lebih banyak hiburan Islam, bukankah golongan agama dan golongan seni perlu merapatkan lagi hubungan? Bukankah ini satu daripada kesempatannya?
Sedarkah kita bahawa ramai pelakon bukan Islam memberi sokongan kepada teater ini dengan melakonkan watak-watak yang tidak boleh dilakonkan oleh orang Islam? Malah, akhbar melaporkan bahawa para pelakon (termasuklah pelakon bukan Islam ini) bersetuju untuk tidak mengambil apa-apa bayaran sehinggalah pementasan berakhir. Jika mereka boleh menyokong teater ini, kenapa tidak kita?
Benar, Sirah Junjungan musim pertama tidak sehebat PGL di mana-mana musim pun. Tetapi, bagi penulis, untuk sebuah teater Islam mengenai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW, apa lagi yang boleh dibuat oleh produksi ini? Penulis bukan orang seni dan bukan orang agama.
Namun sebagai seorang penonton, penulis berpuas hati dengan Sirah Junjungan musim pertama kerana memahami kekangan yang ada.
Kepada mereka yang mahu teater ini menjadi lebih hebat kerana percaya ia perlu jadi hebat untuk menarik orang ramai, mereka perlu menontonnya dahulu dan kemudian memberikan buah fikiran bagaimana untuk mempertingkatkan mutunya.
Sirah Junjungan menceritakan kisah hidup Nabi Muhammad SAW serta perjuangan Baginda. Teater ini adalah peluang kita untuk mengikuti kisah serta perjuangan Rasulullah SAW dalam bentuk yang berbeza. Marilah menyokong teater ini.
Ia boleh dijadikan sebagai satu lagi cara untuk kita menyambut Maulidur Rasul. Jika tidak pada malam sambutan itu sendiri, pilihlah mana-mana hari dari 14 hari ia akan dipentaskan.
Penulis telah pun membeli tiket untuk menonton Sirah Junjungan untuk kali kedua. Walaupun penulis tidak pernah ulang menonton mana-mana pementasan teater, tetapi penulis kira Sirah Junjungan perlu dilayan secara istimewa sebagai sokongan kepada teater Islam.
Memang sukar meyakinkan orang ramai untuk menyokong teater Islam berdasarkan sifatnya yang Islam itu semata-mata. Ini kerana, penonton juga mahukan pementasan yang bermutu. Namun, adalah tidak adil untuk kita menilai Sirah Junjungan sebelum menontonnya. Dalam kes Sirah Junjungan, kalau bukan orang Islam yang menyokongnya, siapa lagi?
PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia..
Sumber_utusanmalaysia_13mar09

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails